PERJUANGAN YANG SIA SIA..


Ini merupakan pengalaman yang telah saya lalui dalam memperjuangkan nilai pendidikan kepada masyarakat. Walaupun peristiwa ini telah lama berlalu, iaitu kira-kira bulan Februari 2015, namun peristiwa ini terus terpahat dalam ingatan saya selamanya.

Ketika berkunjung ke rumah Ibu saudara di Taman Universiti, Skudai, Johor, saya telah dimaklumkan mengenai Amin (bukan nama sebenar), sepupu yang sedang menghadapi masalah untuk melanjutkan pelajaran. Amin, pelajar lepasan SPM, mendapat semua A dalam subjek Sains termasuklah Biologi, Kimia, Bahasa Inggeris dan Matematik. Beliau seorang pelajar yang bijak. Namun, disebabkan kesempitan hidup yang dilalui, tambahan pula dengan ketiadaan ibunya yang telah meninggal dunia semenjak lebih daripda 5 tahun yang lalu, menyebabkan dia terbeban dalam meneruskan pelajaran. Dia dan adiknya yang ke-2 tinggal bersama ibu saudara, manakala adik bongsunya pula menetap bersama bapanya di kampung. Keadaan dan situasi Amin ini amat bercelaru.

Segala maklumat mengenai Amin telah saya dapatkan sebelum berangkat pulang ke Muar, Johor. Sepanjang perjalanan pulang ke Muar, saya telah mengatur beberapa perancangan untuk bertemu dan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya.

Setelah 2 minggu berlalu, perancangan akhirnya diterjemahkan dalam tindakan. Saya ingin memetik satu kata-kata, “Usah tanpa tindakan akan menjadikannya sesuatu yang sia-sia”. Perancangan untuk berjumpa dengan Amin telah mendapat kerjasama yang baik daripada Zariq Aziz, salah seorang sahabat yang saya kenali semasa menuntut di Universiti Utara Malaysia. Saya menagih khidmat daripada saudara Zariq kerana beliau merupakan penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, disamping kesudian beliau untuk bersama-sama dengan saya membantu sepupu yang sedang dihimpit kesulitan.

Selepas bermalam di Simpang Renggam, Kluang, Johor, keesokannya kami mula mengatur perjalanan ke Bandar Kota Tinggi untuk berjumpa dengan Amin. Menurut maklumat awal yang diberikan oleh saudara mara yang lain, Amin dikatakan bekerja di salah sebuah pusat membeli belah yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Tinggi. Saya terlupa nama pusat membeli belah tersebut,namun ia terletak berhampiran dengan Jakel Kota Tinggi. Setiap tingkat di pusat membeli belah tersebut telah puas kami redahi, hampir semua kedai di situ telah kami kunjungi, pekerja kedai pun telah puas kami bertanya sambil menunjukkan gambar, namun ternyata gagal. Jalan terakhir, kami bertanya dengan pengawal keselamatan di pusat membeli belah tersebut. Ternyata kami silap langkah. Selepas mengajukan pertanyaan kepada salah seorang pengawal keselamatan yang sedang tercegat di Eskulator (tangga berjalan), pengawal keselamatan terbabit telah memanggil rakan kerjanya yang lain menggunakan ‘walkie talkie’ untuk bertanya samaada mengenali individu yang kami tunjukkan di dalam gambar. Selang beberapa minit,pengawal keselamatan yang tadi hanya keseorangan, kini telah mencecah hampi 5-7 orang. Namun, jumlah mereka yang ramai itu langsung tidak membantu malah menambah kesulitan yang sedang dihadapi. Sedang mereka kecoh sesama mereka, kami mengucapkan terima kasih dan terus angkat kaki daripada kumpulan pengawal keselamatan itu tadi. Lebih baik berambus!

Menyedari bahawa misi perlu diteruskan, kami meninggalkan pusat membeli belah tersebut dalam perasaan yang sedikit terkilan dan mengubah destinasi pencarian. Misi diteruskan dengan berkunjung ke pusat membeli belah yang lain, dan nama pusat membeli belah tersebut juga telah saya lupa. Mydin, mungkin. Seusai memasuki ruang legar pusat membeli belah tersebut, mata saya terus tertumpu dengan satu susuk tubuh manusia yang sedang tercegat berdiri tidak jauh dari tempat kami berada. Susuk tubuh, penampilan dan wajahnya seakan-akan mirip dengan individu yang sedang kami cari. Kami memerhatikan sahaja setiap gerak geri individu tersebut yang bekerja sebagai ‘salesman’ bagi syarikat Astro. Setelah saya dan saudara Zariq berpuas hati, akhirnya kami menghampiri individu tersebut dan menegurnya.

Benar, inilah Amin yang kami cari!..

Setelah memperkenalkan diri, kami mempelawanya duduk bersama bagi membincangkan masalah yang dihadapi. Perbincangan kami boleh dikatakan sebagai hampir gagal kerana Amin hanya bersikap dingin sepanjang pertemuan berlangsung. Telah puas kami memujuknya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, namun jawapan yang diberikan amat mengecewakan. “ Aku kerja dulu. Nak kumpul duit kalau dapat pergi sambung belajar” Itulah jawapan yang dilontarkan ketika kami bertanya kepadanya mengapa dia bekerja di tempat yang jauh dari rumahnya. Telah perhabis cara dan kaedah kami gunakan untuk memujuk Amin supaya mengisi pendaftaran kemasukan universiti secara atas talian (Online UPU), namun jawabnya “nanti dulu..nanti dulu..nanti dulu”.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 5 minit berakhir dengan kegagalan dan pengharapan. Gagal kerana tidak berjaya memujuk Amin untuk menyambung pelajaran, dan berharap agar Amin dapat mengubah keputusannya suatu hari nanti. Kemudiannya, Amin berlalu pergi dan kembali menyambung kerjanya sebagai seorang ‘salesman’ , kami pula mula mengatur gerak keluar dari pusat membeli belah dengan kekecewaan.

Walaupun sejumlah wang telah saya habiskan, masa rehat saya pula telah terbuang, dan perasaan kecewa yang mendalam, namun itu semua bukan penamat kepada saya untuk meneruskan perjuangan dalam membantu individu yang sedang dihimpit kesulitan. Walaupun misi ini merupakan perjuangan yang sia-sia, namun pengalaman yang diperolehi amat berharga dan tidak dapat luput daripada ingatan, sampai bila-bila.

Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat yang sudi melibatkan diri dengan misi ini, para pembaca yang setia membaca ‘coretan kosong’ ini, dan bersyukur kepada Allah S.W.T kerana atas limpah nikmat dan izin-Nya, segala perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan jayanya.

~Syahmi Minhad

Comments