Masa Penghukum Manusia Yang Alpa



Bismillahirrahmanirrhaim..Sebelum melangkah dengan lebih jauh lagi, mari kita selami dan hayati bait-bait hadith ini.

‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari)

Walaupun hadith ini ringkas, namun ianya mempunyai erti yang tersendiri. Hadith ini membawa maksud bahawa manusia terlalu leka dengan kehidupan dunia ketika mereka senang, sihat dan lapang. Namun, ketika ditimpa sakit, mereka akan mengeluh dan menyalahkan orang lain. Begitu juga ketika manusia sedang mempunyai masa senggang, kebanyakannya menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Masa yang ada tidak digunakan dengan sebaiknya, jika ditimpa kesempitan, mereka juga akan mempersalahkan orang lain. Masa yang berlalu adalah begitu berharga, ianya tidak mampu berpatah semula.

Saya tertarik untuk mengetengahkan isu pengurusan masa ini adalah kerana saya melihat manusia di sekeliling saya terlalu culas dengan masa. Jika ada waktu senggang, kebanyakan daripada kita suka menghabiskan masa dengan aktivit-aktiviti yang tidak berfaedah. Ditambah lagi dengan ledakan teknologi terkini, manusia serba menjadi tidak kena dari segi pengurusan masa. Saya berasa amat terkilan dan sedikit kecewa dengan sikap dan tingkah laku kebanyakan remaja hari ini, terutamanya golongan pelajar sekolah menengah dan Universiti amnya. Mereka memperuntukkan masa yang begitu banyak terhadap media sosial (aplikasi whatsapp dan Facebook)  sehingga lupa tanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu.

Sebagai seseorang yang bergelar mahasiswa universiti, kita haruslah mempaksikan diri kita terhadap ‘mind set’ ketika mula-mula menjejakkan kaki ke universiti. Tujuan kita melangkah masuk ke univerisiti adalah untuk menambah ilmu pengetahuan , bukannya melakukan perkara yang sia-sia.
Setelah melangkah masuk ke universiti, mahasiswa seharusnya mula mengambil inisiatif tersendiri untuk meningkatkan lagi ilmu yang ada. Jika kita memperuntukkan tempoh selama 4 tahun di universiti dengan aktiviti-aktivit yang bermanfaat seperti membuat kajian ilmiah, membaca buku-buku sejarah, meluangkan lebih banyak masa di perpustakaan, mengisi masa-masa yang terluang dengan mengadakan ‘group discussion’, dan memenuhkan waktu lapang dengan aktiviti kampus, nescaya 4 tahun yang dilalui itu bukanlah suatu masa yang sia-sia.

Namun, jika 4 tahun yang kita miliki sebagai seorang  mahasiswa universiti dihabiskan dengan aktivit-aktiviti yang tidak bermanfaat, nescaya kita akan tetap menjadi apa yang kita jadi ketika ini. Jika antara kita memilih untuk bermain whatsapp, Facebook, menonton Youtube dan menolak untuk mengikuti apa-apa program universiti, pastinya kita akan tetap menjadi ‘kosong’, atau dengan lebih terperinci, ibarat ‘tin kosong’. Nyata pelajar universiti hari ini terlalu culas dengan masa.

Masa yang berlalu tidak akan berpatah semula, walau sesaat sekalipun. Mahasiswa mempunyai dua jalan pilihan, samaada memilih untuk berubah, ataupun terus berada di ‘takuk yang lama’.


Sekian, terima kasih..

Comments