SIAPA KITA PADA HARI ESOK?


Manusia itu bermula daripada segumpal darah. Gabungan antara air mani dan juga ovum yang bercantum dan kemudian menjadi segumpal darah dan kemudiannya seketul daging. Diantara berjuta-juta sperma yang berenang, hanya beberapa saja yang bertuah dan kemudiannya hanya satu saja yang berjaya pada akhirnya. Lahirnya ada yang seorang, ada yang kembar dua, ada juga yang sampai kembar 5. Itu adalah keajaiban Allah S.W.T, yang merupakan sebaik-baik perancang, maha berkuasa lagi maha bijaksana.
Sebelum dilahirkan, kehidupan kita sudah diaturkan. Mengupas isi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Zakir Naik baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa tiada siapa yang mampu meramal masa depan. Setiap perbuatan kita itu telah diketahui oleh Allah S.W.T bahkan setiap keputusan yang akan kita buat juga diketahui-Nya. Tiada siapa mampu mengetahui bagaimana kehidupannya pada hari esok, bahkan waktu kematiannya. Bagaimana cara kita meninggal, di mana kita meninggal, dan bilakah kita akan meninggal, semua itu tidak mampu kita ketahui. Jika kita tahu bilakah kita akan meninggal, pasti tidak akan cukup masa untuk kita bertaubat (menghapus dosa akibat perbuatan-perbuatan yang lalu). Jika kita merenung kembali betapa banyak dosa yang telah kita lakukan ketika sedar mahupun tanpa sedar. Dosa mulut, dosa mata, dosa tangan, dosa telinga dan dosa kaki. Itu belum lagi dikira dengan dosa-dosa kita dengan kedua orang tua, dosa terhadap para guru, dosa terhadap makhluk Allah S.W.T bahkan juga dosa terhadap alam. Jika Allah S.W.T mengizinkan kita untuk mengira semua dosa yang telah kita lakukan, nescaya tidak akan pernah mampu untuk kita menghitungnya.

Lihat pula kebaikan yang telah kita lakukan, adakah cukup amal kebaikan yang telah kita lakukan sebagai persediaan untuk dibawa bekalan ke ‘sana ‘ nanti? Lihatlah diri kita, bagaimana perbuatan kita, amalan kita, perangai kita, malah cara kita melayan kedua orang tua kita dan juga manusia sekeliling kita. Manusia yang paling utama dalam hidup kita adalah kedua orang tua kita. Mereka berdualah permulaan hidup kita, mereka jugalah menjadi guru pertama dalam hidup kita. Guru pertama yang mengajar kita berbicara, berjalan, makan dan mendidik kita dengan ilmu-ilmu agama. Setiap ibu bapa tidak akan pernah mengajar anaknya berbuat jahat, bahkan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Kita melihat bagaimana kedua orang tua kita bersusah payah membesarkan kita, berusaha membahagiakan kita, membanting keringat semata-mata untuk melihat kita berjaya. Orang tua kita telah berjaya mencipta kemanisan kehidupan untuk kita, sentiasa ada ketika kita senang ataupun susah, sihat mahupun sakit, ketika dalam kesenangan mahupun dalam kesempitan. Kita telah dipupuk dengan kasih sayang sejak dari kecil lagi dan apabila kita meningkat dewasa, kebanyakan ibu bapa melepaskan kita untuk menuntut ilmu sehingga berjaya dan apabila kita sudah mencapai kejayaan, semestinya mereka merupakan orang pertama yang gembira melihat kejayaan kita. Namun, siapakah kita pada hari esok? Mampukah kita membalas segala perkara yang telah dilakukan oleh kedua orang tua kita? Mampukah kita memimpin mereka, saat mereka memerlukan bantuan, saat mereka dalam kesakitan?

Tiada siapa yang tahu bagaimana hidup kita pada hari esok. Jika hari ini kita adalah seorang pahlawan, belum tentu esok kita akan kekal sebagai pahlawan. Jika hari ini kita adalah seorang bijaksana, belum pasti esok kita akan kekal sebagai seorang yang bijaksana. Jika hari ini kita merupakan seorang yang kaya, esok belum pasti lagi kekayaan itu kekal milik kita. Jika hari ini seseorang itu merupakan pemimpin politik yang digeruni dan desegani masyarakat, belum pasti lagi kegemilangannya akan bertahan pada hari esok. Berbalik pula pada diri kita, salah satu makhluk ciptaan Allah S.W.T yang mempunyai kewarasan otak untuk berfikir dan mempunyai anggota badan yang cukup fungsinya untuk meneruskan kehidupan sehari-hari. Sebagai mahluk Allah S.W.T yang menumpang hidup di muka bumi yang sementara ini, kita seharusnya mempersiapkan diri kita untuk menghadapi hari yang mendatang. Baik dari segi rohani mahupun jasmani. “ Semakin meningkat umur, semakin meningkatnya tanggungjawab, semakin lama hidup di dunia, semakin berat ujian yang akan ditempuhi”. Adakah hari esok adalah hari yang memberi sinaran dan pengharapan? Atau adakah hari esok akan menjadi hari yang buruk buat kita? Atau adakah hari esok adalah hari yang terakhir untuk kita melihat dunia?



Siapa kita pada hari esok? Dimanakah kita pada hari esok? Tepuk dada, tanya selera. 

Comments