Minoriti di dalam Majoriti siri 2

Sumber: penadaritanahmelayu.blogspot.com

Ini adalah sambungan daripada ‘Minoriti di dalam Majoriti’.

Melayu itu sendiri sudah berpecah belah semenjak dahulu lagi. Perjuangan orang-orang Melayu juga sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Sebelum penubuhan Tanah Melayu lagi orang-orang Melayu telah mewujudkan pelbagai parti politik dengan tujuan dan misi yang berbeza-beza. Bermula dengan BATAS, AWAS, Kesatuan Buruh Malaysia, Barisan Tani Malaysia dan akhirnya UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Batu Pahat dengan misi untuk membela kepentingan bangsa Melayu. Pemimpin Melayu pertama yang menjadi tunjang kepada pergerakan UMNO adalah Dato’ Onn Jaafar yang berasal dari Johor dan negeri tersebut juga kubu kuat kepada pergerakan parti tersebut. Namun, ketika ini Johor bukanlah lagi kubu kuat kepada pergerakan UMNO dengan suku daripada kerusi yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 telah jatuh ke tangan pembangkang. Namun, fokus terhadap kupasan ini bukanlah mengenai pergerakan parti UMNO tetapi kedudukan pemimpin-pemimpin Melayu yang dijulang semasa kejayaannya dan dihina semasa kejatuhannya. 

Saya tidak terkejut jika Tun Mahathir yang suatu ketika dahulu menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun dihina dan dilupakan jasanya pada hari ini. Ini telah menjadi tradisi dalam kehidupan orang Melayu semenjak dahulu lagi (mungkin perkara ini terjadi di Malaysia sahaja, tanah air yang kita cintai). Dato’ Onn Jaafar, tokoh penggerak UMNO telah dibuang daripada parti dan digantikan dengan pemimpin yang lain sedangkan beliau adalah pemimpin nombor satu orang Melayu dan UMNO ketika itu. Walaupun berada di puncak kepimpinan, namun disebabkan tersilap langkah, Dato’ Onn disingkirkan daripada UMNO dan kemudiannya menubuhkan parti politik sendiri, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Namun, IMP tidak mendapat sokongan daripada masyarakat setempat dan Dato’ Onn Jaafar tersungkur bersama-sama partinya.  Orang Melayu itu sendiri mudah melupakan jasa dan pengorbanan orang lain dan perkara inilah yang menyebabkan bangsa Melayu itu terus kekal menjadi ‘Minoriti di dalam Majoriti’.

Masyarakat Malaysia pada hari ini termasuk golongan mahasiswa, pelajar sekolah, golongan pekerja sektor kerajaan mahupun swasta, suri rumah, para peniaga mahupun golongan profesional jangan mudah melatah dengan situasi politik pada hari ini. Tun Mahathir terus disingkirkan dan kerajaan pula sedaya upaya memperkukuhkan pengaruh. Itulah realiti yang perlu dihadapi, walaupun pahit namun kita terpaksa menelannya. Tun Mahathir akan dilingkupkan bersama jasa-jasanya. Ini tidak menjadi kejutan kerana Dato’ Onn Jaafar telah melaluinya suatu ketika dahulu.

 Orang Melayu ketika ini sedang dilamun dengan konflik perpecahan dalam politik, sedangkan orang Cina dan India sedang bertepuk tangan, menari dan ketawa dengan penuh kegembiraan. Setelah menjadi minoriti dalam sektor ekonomi, politik adalah tiang sandaran terakhir kepada orang Melayu. Tanpa menguasai politik, nescaya bangsa Melayu ‘terbangsat’ di bumi sendiri. Rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=bangsat untuk pengetahuan yang lebih lanjut mengenai perkataan tersebut.

 Orang Melayu mampu menjadi juara ekonomi kelas bawahan. Kedai makan, butik, kedai runcit kecil-kecilan, gerai makan di tepi-tepi jalan, semua itu dimiliki oleh orang Melayu. Namun, sayangnya, bangunan pencakar langit setinggi 50 tingkat, pusat membeli belah, pasaraya besar, kilang-kilang mega, semua itu bukan milik kita. Tetap tidak akan menjadi milik kita walaupun 100 tahun akan datang jika bangsa kita terus bertelagah, berlaga sesama sendiri dan bertembung demi kepentingan masing-masing. Itu belum diambil kira mengenai perjuangan menegakkan agama Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini. Isu perjuangan islam ini akan diterangkan dalam entri yang seterusnya kerana kekangan masa yang tidak dapat dielakkan.


Terus mengikuti blog saya untuk mendapatkan kupasan yang seterusnya.

Comments