Wawasan 2020 sudah berlalu, kini apa pula?


Jika suatu masa dahulu, slogan 'Wawasan 2020' menjadi tunjang utama kepada kehidupan rakyat di Malaysia. Malah, lagu Wawasan 2020 juga telah dicipta dan dinyanyikan untuk menaikkan semangat masyarakat supaya sama-sama berjaya menuju tahun 2020 yang didambakan sebagai tahun yang lebih baik untuk negara.

Namun, dek kerana perbezaan politik, Wawasan 2020 telah tenggelam dan digantikan dengan Transformasi Nasional 50 (TN 50). TN 50 hanya mampu bertahan untuk tempoh 3 tahun, dan selepas jatuhnya kerajaan pimpinan Najib Razak, TN 50 turut lenyap.

Kini, selepas kedua-duanya 'dilenyapkan', adakah kerajaan mempunyai wawasan yang baru, yang lebih segar, realistik dan dinamik untuk rakyat Malaysia? Ini kerana, selepas hilangnya Wawasan 2020 dan TN 50, kerajaan belum berjaya mewujudkan satu lagi wawasan yang baru untuk menggantikannya.

Wawasan yang diwujudkan oleh kerajaan adalah satu agenda yang sangat penting kerana ia akan menjadi garis panduan kepada kehidupan masyarakat. Negara perlu ada satu sasaran yang perlu dicapai pada tempoh waktu masa yang tertentu. Jadi, jika melihat kepada situasi ketika ini, adalah sangat penting untuk negara mempunyai wawasan baru bagi menggantikan Wawasan 2020 dan TN 50 yang telah 'ghaib'.

'Yang patah tumbuh, yang hilang berganti'. Oleh itu, perkara yang telah hilang hendaklah ada penggantinya. Begitulah juga dengan nasib Wawasan 2020 dan TN 50. Kedua-dua slogan ini sudah hilang dan perlu ada yang menggantikannya.


Comments