Ini merupakan pengalaman yang telah saya lalui dalam memperjuangkan
nilai pendidikan kepada masyarakat. Walaupun peristiwa ini telah lama berlalu,
iaitu kira-kira bulan Februari 2015, namun peristiwa ini terus terpahat dalam
ingatan saya selamanya.
Ketika berkunjung ke rumah Ibu saudara di Taman Universiti,
Skudai, Johor, saya telah dimaklumkan mengenai Amin (bukan nama sebenar), sepupu
yang sedang menghadapi masalah untuk melanjutkan pelajaran. Amin, pelajar
lepasan SPM, mendapat semua A dalam subjek Sains termasuklah Biologi, Kimia,
Bahasa Inggeris dan Matematik. Beliau seorang pelajar yang bijak. Namun,
disebabkan kesempitan hidup yang dilalui, tambahan pula dengan ketiadaan ibunya
yang telah meninggal dunia semenjak lebih daripda 5 tahun yang lalu,
menyebabkan dia terbeban dalam meneruskan pelajaran. Dia dan adiknya yang ke-2
tinggal bersama ibu saudara, manakala adik bongsunya pula menetap bersama
bapanya di kampung. Keadaan dan situasi Amin ini amat bercelaru.
Segala maklumat mengenai Amin telah saya dapatkan sebelum berangkat
pulang ke Muar, Johor. Sepanjang perjalanan pulang ke Muar, saya telah mengatur
beberapa perancangan untuk bertemu dan menyelesaikan masalah yang sedang
dihadapinya.
Setelah 2 minggu berlalu, perancangan akhirnya diterjemahkan
dalam tindakan. Saya ingin memetik satu kata-kata, “Usah tanpa tindakan akan
menjadikannya sesuatu yang sia-sia”. Perancangan untuk berjumpa dengan Amin
telah mendapat kerjasama yang baik daripada Zariq Aziz, salah seorang sahabat
yang saya kenali semasa menuntut di Universiti Utara Malaysia. Saya menagih
khidmat daripada saudara Zariq kerana beliau merupakan penuntut jurusan Ijazah
Sarjana Muda Kaunseling, disamping kesudian beliau untuk bersama-sama dengan
saya membantu sepupu yang sedang dihimpit kesulitan.
Selepas bermalam di Simpang Renggam, Kluang, Johor,
keesokannya kami mula mengatur perjalanan ke Bandar Kota Tinggi untuk berjumpa dengan
Amin. Menurut maklumat awal yang diberikan oleh saudara mara yang lain, Amin
dikatakan bekerja di salah sebuah pusat membeli belah yang terletak di
tengah-tengah bandar Kota Tinggi. Saya terlupa nama pusat membeli belah
tersebut,namun ia terletak berhampiran dengan Jakel Kota Tinggi. Setiap tingkat
di pusat membeli belah tersebut telah puas kami redahi, hampir semua kedai di
situ telah kami kunjungi, pekerja kedai pun telah puas kami bertanya sambil
menunjukkan gambar, namun ternyata gagal. Jalan terakhir, kami bertanya dengan
pengawal keselamatan di pusat membeli belah tersebut. Ternyata kami silap
langkah. Selepas mengajukan pertanyaan kepada salah seorang pengawal
keselamatan yang sedang tercegat di Eskulator (tangga berjalan), pengawal
keselamatan terbabit telah memanggil rakan kerjanya yang lain menggunakan ‘walkie
talkie’ untuk bertanya samaada mengenali individu yang kami tunjukkan di dalam
gambar. Selang beberapa minit,pengawal keselamatan yang tadi hanya keseorangan,
kini telah mencecah hampi 5-7 orang. Namun, jumlah mereka yang ramai itu
langsung tidak membantu malah menambah kesulitan yang sedang dihadapi. Sedang
mereka kecoh sesama mereka, kami mengucapkan terima kasih dan terus angkat kaki
daripada kumpulan pengawal keselamatan itu tadi. Lebih baik berambus!
Menyedari bahawa misi perlu diteruskan, kami meninggalkan
pusat membeli belah tersebut dalam perasaan yang sedikit terkilan dan mengubah
destinasi pencarian. Misi diteruskan dengan berkunjung ke pusat membeli belah
yang lain, dan nama pusat membeli belah tersebut juga telah saya lupa. Mydin,
mungkin. Seusai memasuki ruang legar pusat membeli belah tersebut, mata saya
terus tertumpu dengan satu susuk tubuh manusia yang sedang tercegat berdiri
tidak jauh dari tempat kami berada. Susuk tubuh, penampilan dan wajahnya
seakan-akan mirip dengan individu yang sedang kami cari. Kami memerhatikan
sahaja setiap gerak geri individu tersebut yang bekerja sebagai ‘salesman’ bagi
syarikat Astro. Setelah saya dan saudara Zariq berpuas hati, akhirnya kami menghampiri
individu tersebut dan menegurnya.
Benar, inilah Amin yang kami cari!..
Setelah memperkenalkan diri, kami mempelawanya duduk bersama
bagi membincangkan masalah yang dihadapi. Perbincangan kami boleh dikatakan
sebagai hampir gagal kerana Amin hanya bersikap dingin sepanjang pertemuan
berlangsung. Telah puas kami memujuknya untuk menyambung pelajaran ke peringkat
yang lebih tinggi, namun jawapan yang diberikan amat mengecewakan. “ Aku kerja
dulu. Nak kumpul duit kalau dapat pergi sambung belajar” Itulah jawapan yang
dilontarkan ketika kami bertanya kepadanya mengapa dia bekerja di tempat yang
jauh dari rumahnya. Telah perhabis cara dan kaedah kami gunakan untuk memujuk
Amin supaya mengisi pendaftaran kemasukan universiti secara atas talian (Online
UPU), namun jawabnya “nanti dulu..nanti dulu..nanti dulu”.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira 5 minit berakhir dengan
kegagalan dan pengharapan. Gagal kerana tidak berjaya memujuk Amin untuk
menyambung pelajaran, dan berharap agar Amin dapat mengubah keputusannya suatu
hari nanti. Kemudiannya, Amin berlalu pergi dan kembali menyambung kerjanya
sebagai seorang ‘salesman’ , kami pula mula mengatur gerak keluar dari pusat
membeli belah dengan kekecewaan.
Walaupun sejumlah wang telah saya habiskan, masa rehat saya
pula telah terbuang, dan perasaan kecewa yang mendalam, namun itu semua bukan
penamat kepada saya untuk meneruskan perjuangan dalam membantu individu yang
sedang dihimpit kesulitan. Walaupun misi ini merupakan perjuangan yang sia-sia,
namun pengalaman yang diperolehi amat berharga dan tidak dapat luput daripada
ingatan, sampai bila-bila.
Terima kasih saya ucapkan kepada sahabat yang sudi
melibatkan diri dengan misi ini, para pembaca yang setia membaca ‘coretan
kosong’ ini, dan bersyukur kepada Allah S.W.T kerana atas limpah nikmat dan
izin-Nya, segala perancangan yang diatur dapat dilaksanakan dengan jayanya.
~Syahmi Minhad
Comments
Post a Comment