Bismillahirrahmanirrhaim..Sebelum
melangkah dengan lebih jauh lagi, mari kita selami dan hayati bait-bait hadith
ini.
‘’Ada dua kenikmatan yang membuat kebanyakan
manusia tertipu iaitu nikmat sihat dan waktu lapang." (HR Bukhari)
Walaupun hadith ini ringkas, namun ianya
mempunyai erti yang tersendiri. Hadith ini membawa maksud bahawa manusia
terlalu leka dengan kehidupan dunia ketika mereka senang, sihat dan lapang.
Namun, ketika ditimpa sakit, mereka akan mengeluh dan menyalahkan orang lain.
Begitu juga ketika manusia sedang mempunyai masa senggang, kebanyakannya
menghabiskan masa dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Masa yang ada
tidak digunakan dengan sebaiknya, jika ditimpa kesempitan, mereka juga akan
mempersalahkan orang lain. Masa yang berlalu adalah begitu berharga, ianya
tidak mampu berpatah semula.
Saya tertarik untuk mengetengahkan isu
pengurusan masa ini adalah kerana saya melihat manusia di sekeliling saya
terlalu culas dengan masa. Jika ada waktu senggang, kebanyakan daripada kita
suka menghabiskan masa dengan aktivit-aktiviti yang tidak berfaedah. Ditambah
lagi dengan ledakan teknologi terkini, manusia serba menjadi tidak kena dari
segi pengurusan masa. Saya berasa amat terkilan dan sedikit kecewa dengan sikap
dan tingkah laku kebanyakan remaja hari ini, terutamanya golongan pelajar sekolah
menengah dan Universiti amnya. Mereka memperuntukkan masa yang begitu banyak
terhadap media sosial (aplikasi whatsapp dan Facebook) sehingga lupa tanggungjawab sebagai seorang
penuntut ilmu.
Sebagai seseorang yang bergelar mahasiswa universiti,
kita haruslah mempaksikan diri kita terhadap ‘mind set’ ketika mula-mula
menjejakkan kaki ke universiti. Tujuan kita melangkah masuk ke univerisiti
adalah untuk menambah ilmu pengetahuan , bukannya melakukan perkara yang
sia-sia.
Setelah melangkah masuk ke universiti,
mahasiswa seharusnya mula mengambil inisiatif tersendiri untuk meningkatkan
lagi ilmu yang ada. Jika kita memperuntukkan tempoh selama 4 tahun di universiti
dengan aktiviti-aktivit yang bermanfaat seperti membuat kajian ilmiah, membaca
buku-buku sejarah, meluangkan lebih banyak masa di perpustakaan, mengisi
masa-masa yang terluang dengan mengadakan ‘group discussion’, dan memenuhkan
waktu lapang dengan aktiviti kampus, nescaya 4 tahun yang dilalui itu bukanlah
suatu masa yang sia-sia.
Namun, jika 4 tahun yang kita miliki sebagai
seorang mahasiswa universiti dihabiskan
dengan aktivit-aktiviti yang tidak bermanfaat, nescaya kita akan tetap menjadi
apa yang kita jadi ketika ini. Jika antara kita memilih untuk bermain whatsapp,
Facebook, menonton Youtube dan menolak untuk mengikuti apa-apa program universiti,
pastinya kita akan tetap menjadi ‘kosong’, atau dengan lebih terperinci, ibarat
‘tin kosong’. Nyata pelajar universiti hari ini terlalu culas dengan masa.
Masa yang berlalu tidak akan berpatah semula,
walau sesaat sekalipun. Mahasiswa mempunyai dua jalan pilihan, samaada memilih
untuk berubah, ataupun terus berada di ‘takuk yang lama’.
Sekian, terima kasih..
Comments
Post a Comment