Syukur
kepada Allah S.W.T kerana telah mempertemukan dengan insan-insan ‘istimewa’ di
bumi asing ini. Ternyata satu bulan 20 hari yang dilalui selama berada di bumi
Indonesia ini memberi kesan yang terpadu di dalam memori. Kenangan demi
kenangan yang tercipta di sini sukar untuk dilupakan, bahkan dipadam dalam
jangka waktu yang singkat. 20 Februari 2016, hari pertama menjejakkan kaki ke
bumi Jogjakarta disulami dengan pelbagai tafsiran yang pelbagai. Perasaan
bercampur baur antara suka, duka, gembira dan teruja. Perasaan bercampur baur
disebabkan ini kali pertama merantau ke bumi asing, jika sebelum ini merantau
ke negeri Kedah yang jaraknya sekitar 8-10 jam perjalanan dari Muar ke
Changlun, namun kali ini perjalanannya jauh berbeza. Mendapat tawaran program
pertukaran pelajar ke Daerah Istimewa Jogjakarta yang jaraknya beratus
kilometer dari Malaysia dengan tempoh perjalanan menggunakan pesawat sekitar 2
jam 30 minit, nyata menjanjikan kelainan yang tersendiri.
Benar
kata orang, “jika hendak merasa manisnya sebuah kejayaan, telanlah dahulu
kepahitannya”. Peritnya hanya Allah saja yang tahu. Masih ingat lagi, ketika
baru saja mendapat keputusan tawaran kemasukan ke universiti, seorang cikgu
dengan sinis berkata “dapat kos apa? Teknologi Media? Kos apa tu? Balajar kos
tu, entah-entah nanti dah habis belajar, tak dapat kerja”. Kata-kata daripada
cikgu tersebut seperti halilintar yang singgah ke telinga. ‘PANGGGGGGGGGGG’. Sesungguhnya,
perjalanan yang ditempuh penuh berliku. Dengan duit untuk pergi sambung ijazah
tak cukup, menumpang rumah saudara mara sebelum pergi mendaftar ke universiti,
buat muka tebal (buat muka seposen) sebab terima belas kasihan orang, bahkan
kena fitnah yang macam-macam (daripada saudara mara sendiri). Semua itu
dirasakan baru semalam saja berlaku.
Cabaran
nak pergi Jogajakarta pun tidak kurang hebatnya. Dengan tempoh membuat
persiapan yang terlalu singkat, bahkan terpaksa berulang alik dari
Muar-Changlun-Muar dan kemudian Muar-Klang. Duit dalam poket pun ada berapa
saja. Namun, Alhamdulillah, dengan sedikit bantuan daripada saudara mara termasuk
tolong hantarkan ke Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2) pun dah cukup
memadai. Dengan duit yang dikumpul daripada pelbagai sumber (daripada emak, pak
cik dan duit simpanan arwah ayah), akhirnya sampai juga ke Jogjakarta.
Sebelum
dan selepas menjejakkan kaki ke Indonesia nyata berbeza. Tanggapan pertama aku
ketika sampai di sini ialah bagaimana penerimaan masyarakat Indonesia terhadap rakyat Malaysia. Umum
mengetahui bahawa beberapa tahun yang lalu, hubungan antara kedua-dua negara
ini berada dalam keadaan yang tidak stabil. Ditakuti sentimen anti Malaysia itu
masih menular lagi dalam kalangan masyarakat di sini. Namun, semua tanggapan
itu nyata meleset. Keramahan dan kebaikan yang ditonjolkan oleh masyarakat di
sini nyata menggamit suatu memori yang sukar dilupakan. Melancong dan belajar
di negara orang tidak sama. Jika melancong, seseorang itu akan menetap dalam
suatu tempoh yang sekejap saja (sekitar 7-15 hari saja). Namun, situasi berbeza
bagi mereka yang melanjutkan pelajaran atau mengikuti program pertukaran
pelajar ke luar negara. Banyak juga cabaran yang terpaksa aku tempuhi sepanjang
berada di Jogjakarta ni. Antaranya ialah cabaran ketika berkomunikasi, cabaran
untuk mendapatkan makanan yang bersih dan halal, cabaran budaya dan yang paling
getir ialah cabaran pengurusan kewangan. Minggu pertama berada di sini sedikit
kekok dan rasa macam nak balik je. Namun, seminggu selepas tu, dah mula rasa
selesa.
Susah
untuk berkomunikasi kerana kebanyakan masyarakat di sini merupakan orang Jawa
dan bahasanya sudah tentu berbeza dengan bahasa Melayu. Pensyarah di sini pun
menggunakan bahasa Indonesia sebagai bahasa pengantar. Awal-awal tu memang
terbelit jugak la masa dalam bilik kuliah. Makanan di sini juga banyak yang
berbeza. Makanannya seperti oseng ayam, nasi uduk, nasi kuning, nasi ayam
geprek, sambal terasi mateng, bakso, roti bakar dan tempe. Makanan ni semua
merupakan makanan kegemaran aku sepanjang berada kat sini. Budaya orang sini
pun ada sedikit berbeza. Mereka lebih ramah ketika berbicara dan akan
bersalaman antara satu sama lain (walaupun berbeza jantina). Tarian, pakaian
dan kehidupan sosial mereka pun berbeza. Kalau di UMY, setiap hari isnin
merupakan hari batik. Mahasiswa, pensyarah dan staf universiti digalakkan
memakai pakaian berkonsepkan batik. Kalau di Malaysia, kakitangan awam digalakkan
memakain pakaian berkonsepkan batik pada setiap hari khamis. Isu batik ni
pening jugak la kalau nak bahaskan. Kedua-dua negara pernah bertelagah
disebabkan isu ni. Tetapi, malas aku nak cerita sebab kedua-dua negara ni
banyak berkongsi budaya yang sama. Masalah kewangan adalah cabaran yang paling
getir bila dah sampai sini. Kena mengamalkan sikap berjimat-cermat sebab duit
tu mengalir macam air kalau tak kawal.
Sepanjang
berada di Jogja ni, ada 3 orang individu yang sukar dicari ganti, bahkan susah
nak jumpa orang macam ni lagi-lagi ketika berada di bumi asing. Sepanjang hayat
aku, in sha Allah jasa baik dan bakti mereka tidak akan pernah terpadam. Aku
berbangga berkenalan dengan Mas Reza Rezeki, orang pertama yang menyambut ketibaan
kami di Bandar Udara Adi Sucipto. Mas Reza jugaklah orang yang banyak
memperkenalkan aku dengan sejarah negara merah putih ni. Boleh dikatakan semua
tempat sejarah yang ada di Jogja telah aku terokai bersama beliau. Antaranya
ialah Kraton, Masjid Gedhe, Monumen Jogja Kembali (Monjali) dan Museum Benteng
Vredeburg. Penerokaan ke tempat-tempat sejarah bersama Mas Reza telah mula
menerbitkan kembali minat aku terhadap pembacaan dan pengkajian sejarah. Ketika
di sekolah menengah dulu, aku memang minat dengan pembacaan sejarah dan
keputusan peperiksaan bagi subjek sejarah tidak pernah mengecewakan (PMR A dan
SPM dapat A+). Tetapi, minat tu ‘terpaksa’ aku leburkan semasa di tingkatan 6
kerana subjek yang aku ambil tak ada kena mengena dengan sejarah. Situasi
tersebut berterusan sehingga aku tamat tingkatan 6. Selepas habis tingkatan 6,
aku tak bercadang nak meneruskan minat tersebut kerana aku tak yakin dapat
masuk universiti. Namun, rezeki Allah S.W.T, aku dapat tawaran juga menyambung
pengajian ke universiti berbekalkan keputusan peperiksaan yang tak seberapa.
Sepanjang berada di universiti, beberapa kisah sejarah telah aku baca.
Antaranya ialah Syria, Maharaja Napoleon Bonaparte, Isabella dan beberapa buku
lagi yang aku tak ingat. Sepanjang di Jogja pula, aku berkesempatan membaca
sejarah mengenai negara Afrika, Iran, Turki, Mesir dan Indonesia. Mas Reza juga
merupakan insan yang banyak mengajar aku selok-belok kehidupan di Jogja ni.
Kadang-kadang bergaduh dengan dia, terutamanya pasal makanan. Tapi, beliau ni
aku bagi gred A+ sebab kebaikan, keramahan dan keperibadian yang ada pada dia
susah aku nak jumpa kat orang lain. Lagipun, dia ni jenis yang tidak suka
cakap-cakap belakang atau cerita yang bukan-bukan mengenai orang lain. Sebab
tulah aku selesa apabila berkawan dengan beliau. In Sha Allah, bulan September
ini mas Reza akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dalam jurusan
pengkajian konflik dan perhubungan antarabangsa (kalau tak silap aku) di negara
Turki. Saya sentiasa mendoakan agar mas terus sukses dalam kehidupan dan dapat
menyelesaikan pengajian dalam peringkat sarjana dengan jayanya. Aminnn…..
Seterusnya,
Zaki Arianto. Dia ni orang kepulauan Riau. Kepulauan Riau ni majoriti penduduknya
adalah orang melayu (sekitar 85%). Zaki ni duduk di Bintan, salah satu daerah
yang ada di kepulauan Riau. Selain Bintan, terdapat juga daerah-daerah lain
seperti Batam, Tanjung Pinang, Natuna, Kepulauan Anambas, Lingga dan Karimun.
Penduduk di kawasan kepulauan ni mengamalkan adat istiadat melayu dan juga
bertutur dalam bahasa melayu. Selain itu, terdapat juga Gunung Daik Cabang Tiga
yang selalu disebut-sebut dalam pantun melayu. Selain gunung, kepulauan ini
masih menyimpan adat-adat melayu seperti zapin dan Gurindam 12. Budaya
masyarakat di kawasan tersebut juga hampir sama dengan melayu Johor ( memakai
baju melayu teluk belanga, baju kurung, songkok hitam, memakan makanan-makanan
tradisi melayu ketika hari raya Aidilfitri). Persamaan budaya dan bahasa
memudahkan kami untuk beriteraksi antara satu sama lain. Aku dengan Zaki ni
bukannya sama kuliah bahkan kami berbeza kos pengajian. Zaki adalah mahasiswa
jurusan Hubungan Internasional dan apa yang aku bangga dengan peribadi dia
adalah kerana dia ni seorang yang suka membaca. Penuh satu bilik dia dengan
buku je. Suatu ketika dahulu, aku minat dengan pengkajian sejarah, lepas tu
minat dengan kaunseling tetapi bila masuk alam universiti, aku kena belajar pasal
Teknologi Media pulak. Pejam mata, tutup telinga dan tawakkal, aku teruskan
dengan bidang Teknologi Media dan sekarang ni berjinak-jinak sikit untuk
belajar mengenai hubungan antarabangsa (terinspirasi daripada si Mas Reza
dengan Zaki) hahaha. Aku tak suka membandingkan kebaikan seseorang dengan
seseorang yang lain. Kalau nak kawan yang betul-betul sempurna, sampai kiamat
pun tak akan jumpa. Kalau ada kelapangan, aku menyelit kat orang tu. Kalau yang
sorang tu sibuk, aku menyelit kat orang lain pulak. Aku tak suka berbaik dengan
seorang saja sebab pengalaman-pengalaman lalu sudah cukup mengajar erti sebuah
keperitan.
Orang
ketiga dan yang terakhir aku nak cerita ialah Dany Shahputra. Dany ni pun
merupakan salah seorang daripada penduduk Riau dan menetap di Natuna. Dialah
orang yang memperkenalkan aku dengan si Zaki. Selain Zaki, kami
(pelajar-pelajar komunikasi dari Malaysia) sempat juga berkenalan dengan kak
Raja Aisyah Mutiah dan Iqbal. Dany ni pada mulanya pemalu. Masa dia sambut kami
di lapangan terbang, dia tak banyak cakap. Sepatah dua perkataan saja yang
keluar dari mulut dia. Tapi, sekarang ni berbeza. Dia yang lebih banyak cakap
daripada kami. Bukan saja banyak cakap, bahkan kuat menyakat. Dany ni pun
banyak tolong kami bila susah. Kalau budak-budak perempuan nak merayap pergi
pasar ke, pergi kedai ke, mintak tolong ‘topup’ ke, mintak tolong belikan
barang ke, si Dany la yang jadi mangsa. Haha. Tapi, kalau tak ada si Dany ni
pun tak lengkaplah ‘keluarga’ kami kat sini. Bukan saja waktu susah, waktu
senang pun si Dany ni ada bersama kami. Pergi makan, pergi menghias ‘booth’
untuk program ICF, program bersama Tun Mahathir dan macam-macam lagi, si Dany
pasti ada menyelit. Kami berenam ni semuanya gila-gila, dan pada mulanya dia
baik saja, lama-kelamaan, si Dany ni pun turut terjebak menjadi ‘gila-gila’. Hahaha.
Itulah
cerita serba ringkas mengenai insan-insan hebat yang telah memberi satu
fenomena yang sungguh berharga dalam hidup ni. Mereka bertiga secara tidak
langsung memberi gambaran secara keseluruhan mengenai sikap dan keperibadian
rakyat Indonesia yang cintakan keamanan dan saling menghormati antara satu sama
lain. Sekian saja untuk kali ini, terima kasih kerana membaca coretan yang
tidak seberapa ini. Terima kasih.
2
April 2016
Comments
Post a Comment