Sudah
lebih daripada 2 bulan tinggal di Yogyakarta, Indonesia. Macam-macam
pengalaman, suka duka, pahit manis sepanjang berada di sini. Bukan hanya datang
ke sini untuk menuntut ilmu semata-mata, namun lebih daripada itu. Pergi ke
sesuatu negara untuk belajar dan melancong adalah sesuatu yang berbeza. Jika
melancong, seseorang tu hanya tinggal untuk seketika waktu sahaja (selalunya
tidak lebih daripada seminggu). Berbeza dengan melancong, pelajar yang
meneruskan pengajian di luar negara perlu menetap lebih lama (sekitar 4 bulan).
Dan saya adalah seorang daripada kelompok manusia yang bergelar ‘pelajar’ yang
perlu menjalani pengajian selama satu semester di Indonesia bagi memenuhi
prasyarat program pertukaran pelajar (mobiliti).
Dunia
hari ni sememangnya memiliki beribu-ribu malah berjuta-juta orang yang pandai.
Lihat Malaysia saja, berapa ribu orang cerdik pandai yang berkelulusan dalam
mahupun luar negara. Ramai juga rakyat Malaysia yang menyambung pengajian ke
luar negara terutamanya Amerika Syarikat, Australia, Mesir dan Turki. Jadinya,
pemergian saya ke Indonesia ini tidak berapa sangat orang nak pandang sebabnya
setakat negara seberang saja (sekangkang kera) ikut pepatah orang tua-tua. Ada
seorang teman tu kata “setakat Indonesia je pun”. Tetapi, kata-kata seperti
itulah sebenarnya yang memberi kekuatan dan motivasi untuk membuat yang terbaik
semasa berada di negara orang. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan
kedatangan saya ke negara Republik Indonesia ini juga memberi hikmah yang
tersendiri.
Jika
sebelum ini saya dimomokkan dengan pelbagai teori, penceritaan dan kisah mengenai
Indonesia. Orangnya itulah, orangnya inilah. Tragedi yang terjadi 6-7 tahun
yang lalu (ganyang Malaysia) memberi igauan ngeri buat rakyat Malaysia untuk
datang ke Indonesia. Setiap negara semestinya akan menghadapi pelbagai konflik
dengan negara jiran. Bukan setakat Indonesia, Malaysia juga pernah mengalami
beberapa krisis dengan Singapura, Thailand, Filipina dan Brunei. Isu air
bersih, pencerobohan ruang udara dan imigresen pernah menggegarkan seketika perhubungan
antara Malaysia-Singapura. Isu pendatang asing, penyeludupan barang dan keselamatan
tidak pernah sepi diantara Malaysia-Thailand. Isu perebutan pulau dan
pencerobohan di sempadan juga pernah menghangatkan perhubungan antara
Malaysia-Filipina. Hubungan antarabangsa antara Malaysia dan Brunei sentiasa
dalam keadaan baik, namun suatu ketika dahulu pernah juga berlaku ketegangan
ketika penubuhan ‘Malaysia’ bagi menggantikan Tanah Melayu yang telah mula
mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Krisis-krisis
ini boleh ditangani dengan sebaiknya diatas kebijaksaan pemimpin-pemimpin
antara negara yang mendokong penuh semangat setiakawan, bertolak ansur dan
saling menghormati antara satu sama lain. Malaysia memerlukan dokongan,
sokongan dan bantuan dari negara-negara jiran yang lain. Begitu juga bagi
negara-negara jiran yang melihat Malaysia sebagai sebuah negara anggota yang
bersama-sama mengawal keselamatan, membina kesepakatan dan memelihara keamanan.
Malaysia tidak mampu berdiri sebagai sebuah negara tanpa sokongan daripada
negara-negara jiran yang lain. Mungkin ada beberapa perkara Malaysia mendahului
negara-negara jiran yang lain. Namun, masih terdapat beberapa kekurangan yang
perlu diperbaiki dalam usaha untuk menjadi sebuah negara yang unggul seiring
dengan Wawasan 2020 yang telah diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir semasa
pemerintahannya suatu ketika dahulu. Mungkin Malaysia dilihat berjaya dengan
adanya bangunan-bangunan pencakar langit, jambatan terpanjang di Asia Tenggara,
fasiliti lengkap dan canggih. Jika daripada sudut fasiliti, Malaysia jauh
menandingi Indonesia. Namun, itu bukan bermaksud Malaysia telah berjaya
sepenuhnya.
Saya
senaraikan beberapa perbandingan antara Malaysia dan Indonesia (ini adalah
pandangan pribadi tanpa memihak kepada mana-mana pihak). Kelengkapan dan fasiliti
yang disediakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) jauh lebih canggih daripada
Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY). Kalau di UUM, pelajar yang mahu
masuk dan menggunakan perkhidmatan perpustakaan hanya perlu menyentuh kad
pelajar di mesin yang telah disediakan. Pintu bilik kuliah juga dibuka dan
ditutup secara automatik. Perpustakaan di UUM (Perpustakaan Sultanah Bahiyah) jauh
lebih besar iaitu setinggi 5 tingkat sedangkan di UMY hanya 1 tingkat sahaja.
UUM juga mempunyai lebih daripada 50 badan persatuan pelajar yang bernaung di
bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan 40 persatuan kos pengajian yang bernaung di
kolej pengajian masing-masing . Namun, berbeza pula bagi UMY dan persatuan
pelajarnya tidaklah sebanyak di UUM. Terdapat beberapa badan pelajar seperti
Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM Fisipol) yang bertindak sebagai satu organisasi
besar yang mengurus dan menyelaras program khas buat mahasiswa ilmu Komunikasi,
Hubungan Internasional dan Ilmu Pemerintahan . Namun, semangat berpersatuan
yang ditunjukkan oleh mahasiswa Indonesia terutamanya UMY amat membanggakan dan
harus mendapat pujian oleh masyarakat dunia amnya. Mereka lebih berani dalam
memperjuangkan masalah-masalah mahasiswa, menyusun dan mengurus program dengan
sangat baik serta tidak pernah gentar dengan pihak pentadbiran. Mereka bukan
sahaja hebat di atas kertas, malah mereka juga hebat di lapangan. Mahasiswa di
Indonesia ‘menggenggam’ kuasa politik negaranya. Tumbangnya Soekarno (presiden
pertama Republik Indonesia) adalah kerana pemberontakan daripada mahasiswa.
Nasib yang sama juga dialami oleh Soeharto (presiden kedua Republik Indonesia)
apabila pemberontakan yang digerakkan oleh para mahasiswa berjaya menggulingkan
pemerintahannya yang telah bertahan selama 32 tahun. (sumber rujukan ‘Titik
Tolak Reformasi: Hari-Hari Terakhir Presiden Soeharto).
Saya
mengungkap sedikit sejarah negara Indonesia kerana sejarah negara ini seronok
untuk dikaji. Sesiapa yang mengkaji dan mempelajarinya pasti akan mula ‘jatuh
cinta’. Indonesia mampu bergerak sebagai ‘bangsa Indonesia’ dan hanya
menggunakan satu bahasa tanpa mengagungkan bahasa penjajah dan inilah yang
membuatkan Indonesia istimewa berbanding negara yang lain. Indonesia telah
dijajah oleh Belanda beratus-ratus tahun lamanya. Namun, negara ini tidak
pernah mengangkat bahasa Belanda sebagai bahasa yang harus dipelajari. Berbeza dengan
Indonesia, Malaysia menggalakkan rakyatnya untuk mempelajari pelbagai bahasa.
Bukan setakat bahasa Melayu, rakyat Malaysia juga mampu berbicara dalam pelbagai
bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Arab.
Banyak
sebenarnya kisah yang ingin saya kongsikan dan In Sha Allah saya akan
lanjutkannya dalam catatan yang akan datang. Jangan khuatir dengan perbezaan
yang kita miliki ini kerana perbezaan itu bukan penghalang untuk kita TERUS
MENGIBARKAN BENDERA PERSAUDARAAN!... Sekian, terima kasih.
Bagi menyemai rasa cinta terhadap bangsa, saya selitkan lagu '1 Malaysia' khas dari Malaysia dan 'Jadilah Lagenda' pula khas dari Indonesia.
Comments
Post a Comment