Manusia
itu bermula daripada segumpal darah. Gabungan antara air mani dan juga ovum
yang bercantum dan kemudian menjadi segumpal darah dan kemudiannya seketul
daging. Diantara berjuta-juta sperma yang berenang, hanya beberapa saja yang
bertuah dan kemudiannya hanya satu saja yang berjaya pada akhirnya. Lahirnya
ada yang seorang, ada yang kembar dua, ada juga yang sampai kembar 5. Itu
adalah keajaiban Allah S.W.T, yang merupakan sebaik-baik perancang, maha
berkuasa lagi maha bijaksana.
Sebelum
dilahirkan, kehidupan kita sudah diaturkan. Mengupas isi ceramah yang
disampaikan oleh Dr. Zakir Naik baru-baru ini, beliau mengatakan bahawa tiada
siapa yang mampu meramal masa depan. Setiap perbuatan kita itu telah diketahui
oleh Allah S.W.T bahkan setiap keputusan yang akan kita buat juga
diketahui-Nya. Tiada siapa mampu mengetahui bagaimana kehidupannya pada hari
esok, bahkan waktu kematiannya. Bagaimana cara kita meninggal, di mana kita
meninggal, dan bilakah kita akan meninggal, semua itu tidak mampu kita ketahui.
Jika kita tahu bilakah kita akan meninggal, pasti tidak akan cukup masa untuk
kita bertaubat (menghapus dosa akibat perbuatan-perbuatan yang lalu). Jika kita
merenung kembali betapa banyak dosa yang telah kita lakukan ketika sedar
mahupun tanpa sedar. Dosa mulut, dosa mata, dosa tangan, dosa telinga dan dosa
kaki. Itu belum lagi dikira dengan dosa-dosa kita dengan kedua orang tua, dosa
terhadap para guru, dosa terhadap makhluk Allah S.W.T bahkan juga dosa terhadap
alam. Jika Allah S.W.T mengizinkan kita untuk mengira semua dosa yang telah
kita lakukan, nescaya tidak akan pernah mampu untuk kita menghitungnya.
Lihat
pula kebaikan yang telah kita lakukan, adakah cukup amal kebaikan yang telah
kita lakukan sebagai persediaan untuk dibawa bekalan ke ‘sana ‘ nanti? Lihatlah
diri kita, bagaimana perbuatan kita, amalan kita, perangai kita, malah cara
kita melayan kedua orang tua kita dan juga manusia sekeliling kita. Manusia
yang paling utama dalam hidup kita adalah kedua orang tua kita. Mereka
berdualah permulaan hidup kita, mereka jugalah menjadi guru pertama dalam hidup
kita. Guru pertama yang mengajar kita berbicara, berjalan, makan dan mendidik
kita dengan ilmu-ilmu agama. Setiap ibu bapa tidak akan pernah mengajar anaknya
berbuat jahat, bahkan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama. Kita
melihat bagaimana kedua orang tua kita bersusah payah membesarkan kita,
berusaha membahagiakan kita, membanting keringat semata-mata untuk melihat kita
berjaya. Orang tua kita telah berjaya mencipta kemanisan kehidupan untuk kita,
sentiasa ada ketika kita senang ataupun susah, sihat mahupun sakit, ketika
dalam kesenangan mahupun dalam kesempitan. Kita telah dipupuk dengan kasih
sayang sejak dari kecil lagi dan apabila kita meningkat dewasa, kebanyakan ibu
bapa melepaskan kita untuk menuntut ilmu sehingga berjaya dan apabila kita
sudah mencapai kejayaan, semestinya mereka merupakan orang pertama yang gembira
melihat kejayaan kita. Namun, siapakah kita pada hari esok? Mampukah kita membalas
segala perkara yang telah dilakukan oleh kedua orang tua kita? Mampukah kita
memimpin mereka, saat mereka memerlukan bantuan, saat mereka dalam kesakitan?
Tiada
siapa yang tahu bagaimana hidup kita pada hari esok. Jika hari ini kita adalah
seorang pahlawan, belum tentu esok kita akan kekal sebagai pahlawan. Jika hari
ini kita adalah seorang bijaksana, belum pasti esok kita akan kekal sebagai
seorang yang bijaksana. Jika hari ini kita merupakan seorang yang kaya, esok
belum pasti lagi kekayaan itu kekal milik kita. Jika hari ini seseorang itu
merupakan pemimpin politik yang digeruni dan desegani masyarakat, belum pasti
lagi kegemilangannya akan bertahan pada hari esok. Berbalik pula pada diri
kita, salah satu makhluk ciptaan Allah S.W.T yang mempunyai kewarasan otak
untuk berfikir dan mempunyai anggota badan yang cukup fungsinya untuk
meneruskan kehidupan sehari-hari. Sebagai mahluk Allah S.W.T yang menumpang
hidup di muka bumi yang sementara ini, kita seharusnya mempersiapkan diri kita
untuk menghadapi hari yang mendatang. Baik dari segi rohani mahupun jasmani. “
Semakin meningkat umur, semakin meningkatnya tanggungjawab, semakin lama hidup
di dunia, semakin berat ujian yang akan ditempuhi”. Adakah hari esok adalah
hari yang memberi sinaran dan pengharapan? Atau adakah hari esok akan menjadi
hari yang buruk buat kita? Atau adakah hari esok adalah hari yang terakhir
untuk kita melihat dunia?
Siapa
kita pada hari esok? Dimanakah kita pada hari esok? Tepuk dada, tanya selera.
Comments
Post a Comment