Sumber: penadaritanahmelayu.blogspot.com |
Ini
adalah sambungan daripada ‘Minoriti di dalam Majoriti’.
Melayu itu sendiri sudah berpecah belah semenjak
dahulu lagi. Perjuangan orang-orang Melayu juga sentiasa berubah-ubah mengikut
peredaran zaman. Sebelum penubuhan Tanah Melayu lagi orang-orang Melayu telah
mewujudkan pelbagai parti politik dengan tujuan dan misi yang berbeza-beza. Bermula
dengan BATAS, AWAS, Kesatuan Buruh Malaysia, Barisan Tani Malaysia dan akhirnya
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 di Batu Pahat dengan misi untuk membela
kepentingan bangsa Melayu. Pemimpin Melayu pertama yang menjadi tunjang kepada
pergerakan UMNO adalah Dato’ Onn Jaafar yang berasal dari Johor dan negeri
tersebut juga kubu kuat kepada pergerakan parti tersebut. Namun, ketika ini
Johor bukanlah lagi kubu kuat kepada pergerakan UMNO dengan suku daripada
kerusi yang dipertandingkan semasa Pilihan Raya Umum ke-13 telah jatuh ke
tangan pembangkang. Namun, fokus terhadap kupasan ini bukanlah mengenai
pergerakan parti UMNO tetapi kedudukan pemimpin-pemimpin Melayu yang dijulang
semasa kejayaannya dan dihina semasa kejatuhannya.
Saya tidak terkejut jika Tun
Mahathir yang suatu ketika dahulu menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22
tahun dihina dan dilupakan jasanya pada hari ini. Ini telah menjadi tradisi
dalam kehidupan orang Melayu semenjak dahulu lagi (mungkin perkara ini terjadi
di Malaysia sahaja, tanah air yang kita cintai). Dato’ Onn Jaafar, tokoh
penggerak UMNO telah dibuang daripada parti dan digantikan dengan pemimpin yang
lain sedangkan beliau adalah pemimpin nombor satu orang Melayu dan UMNO ketika
itu. Walaupun berada di puncak kepimpinan, namun disebabkan tersilap langkah,
Dato’ Onn disingkirkan daripada UMNO dan kemudiannya menubuhkan parti politik
sendiri, Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). Namun, IMP tidak mendapat sokongan
daripada masyarakat setempat dan Dato’ Onn Jaafar tersungkur bersama-sama
partinya. Orang Melayu itu sendiri mudah
melupakan jasa dan pengorbanan orang lain dan perkara inilah yang menyebabkan
bangsa Melayu itu terus kekal menjadi ‘Minoriti di dalam Majoriti’.
Masyarakat Malaysia pada hari ini termasuk golongan
mahasiswa, pelajar sekolah, golongan pekerja sektor kerajaan mahupun swasta,
suri rumah, para peniaga mahupun golongan profesional jangan mudah melatah
dengan situasi politik pada hari ini. Tun Mahathir terus disingkirkan dan
kerajaan pula sedaya upaya memperkukuhkan pengaruh. Itulah realiti yang perlu
dihadapi, walaupun pahit namun kita terpaksa menelannya. Tun Mahathir akan
dilingkupkan bersama jasa-jasanya. Ini tidak menjadi kejutan kerana Dato’ Onn
Jaafar telah melaluinya suatu ketika dahulu.
Orang Melayu
ketika ini sedang dilamun dengan konflik perpecahan dalam politik, sedangkan
orang Cina dan India sedang bertepuk tangan, menari dan ketawa dengan penuh
kegembiraan. Setelah menjadi minoriti dalam sektor ekonomi, politik adalah tiang
sandaran terakhir kepada orang Melayu. Tanpa menguasai politik, nescaya bangsa
Melayu ‘terbangsat’ di bumi sendiri. Rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=bangsat
untuk pengetahuan yang lebih lanjut mengenai perkataan tersebut.
Orang Melayu mampu
menjadi juara ekonomi kelas bawahan. Kedai makan, butik, kedai runcit
kecil-kecilan, gerai makan di tepi-tepi jalan, semua itu dimiliki oleh orang
Melayu. Namun, sayangnya, bangunan pencakar langit setinggi 50 tingkat, pusat
membeli belah, pasaraya besar, kilang-kilang mega, semua itu bukan milik kita.
Tetap tidak akan menjadi milik kita walaupun 100 tahun akan datang jika bangsa
kita terus bertelagah, berlaga sesama sendiri dan bertembung demi kepentingan
masing-masing. Itu belum diambil kira mengenai perjuangan menegakkan agama
Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini. Isu perjuangan islam ini akan
diterangkan dalam entri yang seterusnya kerana kekangan masa yang tidak dapat
dielakkan.
Terus mengikuti blog saya untuk mendapatkan kupasan
yang seterusnya.
Comments
Post a Comment