Kehidupan
dunia ketika ini semakin hari semakin mencabar. Begitu juga dengan sistem pendidikan
di univerisiti ketika ini yang perlu dilalui oleh setiap individu yang bergelar
mahasiswa. Jika sekitar tahun 80-an, graduan yang berjaya menamatkan pengajian
di universiti-universiti tempatan kebanyakannya mudah untuk mendapatkan
pekerjaan. Ada juga syarikat yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada
individu yang mempunyai kelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Jika
mahu bekerja di sektor-sektor kerajaan terutamanya bidang pendidikan, cukup
hanya mengambil kursus-kursus tertentu dan jika berjaya melepasi beberapa
ujian, individu itu layak bekerja dalam bidang pendidikan. Begitu juga dengan sektor
swasta yang tidak terlalu memberi syarat yang banyak dan cukup sekadar individu
itu mempunyai semangat kerja yang tinggi, berdisiplin dan rajin. Boleh
dikatakan mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian di universiti awam
menjadi ‘laris’.
Namun,
realiti kehidupan pada tahun 2017 jauh mencabar berbanding masa lalu.
Persaingan antara graduan yang ingin mendapatkan pekerjaan semakin sengit.
Syarikat-syarikat milik kerajaan mahupun swasta pula menetapkan syarat yang
semakin ketat kepada graduan-graduan universiti yang baru sahaja berjaya
menamatkan pengajian. Syarikat di Malaysia ketika ini kebanyakannya menetapkan
supaya mana-mana individu yang ingin bekerja di syarikat mereka hendaklah
mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya setahun. Tidak cukup dengan itu,
ada juga syarikat yang meletakkan syarat-syarat tambahan seperti kemahiran
berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, mempunyai kemahiran
insaniah serta bersedia bekerja lebih masa. Oleh itu, mahasiswa yang masih lagi
menuntut di pusat-pusat pengajian awam mahupun swasta hendaklah memanfaatkan
peluang dengan sebaiknya dan tidak mensia-siakan waktu senggang dengan
aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah.
Mahasiswa
hendaklah merebut segala ruang dan peluang yang ada di universiti untuk meningkatkan
lagi kemahiran insaniah dan dalam masa yang sama mengembangkan lagi bakat serta
potensi yang ada pada diri. Oleh itu, badan persatuan pelajar mejadi salah satu
alternatif terbaik untuk mengembangkan bakat yang terpendam. Maka tidak
hairanlah jika pihak pengurusan universiti sendiri dibawah kelolaan Hal Ehwal
Pelajar (HEP ) UUM telah mewujudkan lebih daripada 100 buah persatuan yang
bertujuan untuk menyemarakkan lagi ciri-ciri kepimpinan dalam kalangan
mahasiswa. Bukan itu sahaja, malah UUM turut mempunyai lebih daripada 40 buah badan
persatuan badan pelajar yang bernaung di bawah jurusan masing-masing. Tambahan
pula, UUM mempunyai 16 buah asrama utama dan setiap daripada asrama tersebut
mempunyai organisasi tersendiri. Maka tidak hairanlah jika UUM sentiasa
‘dibanjiri’ dengan pelbagai program yang melibatkan bukan sahaja pelajar
universiti, malah turut memberi tumpuan kepada masyarakat setempat.
Oleh
itu, peluang yang disediakan oleh pihak pengurusan universiti hendaklah direbut
dengan sebaiknya oleh mahasiswa. Seorang mahasiswa yang holistik dan
berdedikasi tinggi adalah mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas,
malah turut cemerlang dalam bidang kepimpinan. Rebutlah segala peluang yang ada
kerana peluang itu datang hanya sekali seumur hidup.
Comments
Post a Comment