UUM-Hidden Lake

Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan sebuah universiti awam yang terletak di Utara semenanjung Malaysia. UUM dikenali dengan gelaran 'universiti pengurusan terkemuka' dan juga digelar sebagai 'universiti di rimba hijau'. Universiti yang dikelilingi dengan hutan semula jadi pasti menggamit perasaan setiap penghuni dan juga pengunjung di sekitarnya. Pemandangan yang cantik, udaranya yang nyaman dan persekitarannya yang bersih menambahkan lagi keindahan alam yang terdapat di sekitarnya. Banyak keindahan alam yang boleh diterokai dan antara salah satunya ialah 'Hidden Lake' atau dikenali sebagai Tasik Tersembunyi.

'Hidden Lake' merupakan sebuah tasik semulajadi yang wujud di dalam kawasan universiti. Tasik ini diberi nama 'Hidden lake' disebabkan oleh kedudukannya yang tersembunyi daripada orang awam. Tasik ini juga terletak di tengah-tengah hutan Sintok dan terlindung dengan bukit-bukau. Tasik semulajadi atau tasik buatan kebiasaannya dijumpai di kawasan tanah landai dan berhampiran dengan anak sungai. Namun, lain pula bagi 'Hidden Lake'. Tasik ini terletak di atas bukit dan jauh daripada anak sungai atau sumber air. Airnya yang jernih dan bersih ditambah pula dengan pemandangan kayu-kayan yang telah mati menambahkan lagi keunikan tasik ini.

Tasik ini suatu masa dahulu tidak berapa dikenali oleh masyarakat setempat bahkan warga UUM sendiri majoritinya tidak sedar akan kewujudannya. Namun, semenjak tahun 2016, tasik ini telah mula menjadi tumpuan orang ramai dan jumlah pengunjung yang berkunjung ke tasik tersebut semkain meningkat setiap tahun.

Beginilah keadaan sebenar 'Hidden Lake' yang terdapat di UUM. Gambar ini diambil sekitar bulan April 2017. Selain daripada tasik ini, terdapat juga beberapa keindahan alam yang boleh diterokai hanya di dalam UUM iaitu Pokok 3 Beradik dan juga Puncak Vista UUM.










Walaupun tasik ini mula menjadi perhatian orang ramai, namun kebersihan dan keindahannya masih tetap terpelihara hasil usaha peliharaan dan pemuliharaan yang dilakukan oleh pihak pengurusan universiti. Berkunjunglah ke UUM kerana universiti ini bukan hanya sebagai tempat cendekiawan berkumpul, malah turut menyimpan khazanah alam yang tidak terdapat di tempat-tempat yang lain.

#uumisthebest

Comments